Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) diiringi Pengurus Kanan Operasi dan Pembangunan KTMB, Saimi Abdullah (dua kiri) menaiki tren ETS pada majlis Pelancaran Tren ETS Berpaparan Beautiful Terengganu di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu tidak melarang sebarang bentuk pesta untuk dijalankan di negeri itu selagi ia tidak melanggar peruntukan undang-undang.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sesiapa sahaja boleh menjalankan aktiviti hiburan namun, ia mestilah termaktub di dalam garis panduan dibenarkan.

“Kita kena lihat dalam gambaran yang besar, parti-parti yang dijalankan ini boleh sahaja dibuat selagi berada dalam ruang lingkup garis panduan.

“Yang kita tidak mahu adalah jika ia berkait dengan perkara-perkara yang bersalahan dengan undang-undang seperti penggunaan bahan terlarang dan sebagainya.

“Ini perkara yang tidak dilihat oleh orang luar tapi sebenarnya ditakuti itulah yang akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tren ETS Berpaparan Beutiful Terengganu Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas mengenai laporan media berhubung tangkapan 10 individu termasuk tiga wanita oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika asyik berpesta arak di dua pusat hiburan di Pulau Perhentian, Besut, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, kesemua yang ditahan berusia 20an di sebuah pusat hiburan sedang bersuka ria dalam suasana berkonsepkan ‘disko ala pantai’.

Beberapa botol arak dipercayai baki minuman yang digunakan oleh mereka turut dirampas pihak berkuasa.

Malah, menurut laporan penduduk, pusat hiburan itu didakwa dijadikan ‘port’ pengunjung tempatan terutama kaki botol melepaskan gian minum arak terutama pada musim cuti, selain melakukan aktiviti maksiat apabila menari bersama pasangan masing-masing dalam keadaan mabuk.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menegaskan kerajaan negeri sedang merangka satu garis panduan hiburan untuk diguna pakai di negeri itu sebagai langkah mencegah perlakuan tidak sihat semasa berhibur.

Katanya, garis panduan itu akan dikeluarkan lebih awal kepada agensi yang berkaitan agar persediaan dapat dibuat dan pelaksanaannya perlu dilakukan selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Dalam masa bulan 10, 11 hingga bulan satu semua pulau-pulau ini tidak dikunjungi sebab monsun. Jadi, ada masa untuk merangka guide line itu dan dijangka dilaksanakan tahun depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette