Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – MCA berkemungkinan akan “berpisah” dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika parti itu cenderung menjadi lebih perkauman dan ekstremis kepada agama.

Berkata demikian, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan,  BN perlu terus menjadi parti yang meraikan pelbagai kaum.

“BN akan memegang prinsip kesederhanaan. Jika ada sebarang parti komponen termasuk Umno, bergerak ke arah perkauman, agama, teokrasi atau ekstremisme, maka kami hanya memiliki dua pilihan.

“Pilihan pertama adalah membubarkan BN kerana ia sudah tidak lagi menjadi gabungan keharmonian kaum. Pilihan kedua adalah tendang UMNO keluar (BN).

“Kami (MCA) adalah parti yang mengamalkan kesederhanaan, kenapa patut kami tinggalkan BN? Kenapa kami tidak boleh menyingkirkan UMNO?,” kata Tiong Lai ketika berucap pada Konvensyen MCA Selangor 2018 di sini hari ini.

Tiong Lai kemudian menegaskan pendirian parti itu untuk membantah kerjasama UMNO dengan Pas.

“UMNO telah memberi jaminan bahawa mereka (UMNO dan Pas) hanya bekerja bersama dalam isu-is tertentu, mereka bekerjasama dalam isu-isu, mereka tidak membentuk suatu gabungan.

“Saya sebenarnya telah menyatakan pendirian ini kepada UMNO bahawa kami tidak bersetuju dengan sebarang bentuk gabungan atau membawa parti itu (UMNO) khususnya sebagai parti komponen BN ke arah perkauman dan agama,”tambahnya.

UMNO mulai bekerjasama semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan kemudiannya di Seri Setia dan Balakong.

Kedua-dua parti tersebut saling bekerjasama dalam membantu kempen.

Pada Muktamar Pas baru-baru ini yang berlangsung di Kuala Terengganu, barisan kepimpinan UMNO buat pertama kalinya hadir. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast