Polis terpaksa dipanggil untuk mengawal keadaan selepas berlaku pergaduhan dalam proses pemilihan PKR 2018 di Kedah hari ini.
Polis terpaksa dipanggil untuk mengawal keadaan selepas berlaku pergaduhan dalam proses pemilihan PKR 2018 di Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Bergaduh dan kegagalan sistem pengundian berfungsi dengan baik bukan perkara baru dalam proses pemilihan PKR.

Malah, hampir setiap penggal, kalau tidak tercetus insiden pukul memukul, tendang menendang, memaki hamun, meja dan kerusi terbang, bukan pemilihan kepimpinan namanya.

Situasi inilah yang berlaku pada hari pertama proses pengundian di Kedah dan Pulau Pinang hari ini, dengan sekurang-kurangnya lapan Cabang PKR di negeri Jelapang Padi itu terpaksa ditangguhkan pemilihannya oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.

Lapan Cabang itu ialah Padang Serai, Baling, Sik, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Langkawi, Jerai dan Merbok, apabila sistem e-voting yang baharu diperkenalkan tahun ini gagal berfungsi.

Berikutan itu, ribuan ahli PKR yang bertindak sebagai pengundi, mengamuk dan menzahirkan rasa tidak puas hati kegagalan sistem itu dengan menjerit, memekik dan menghentak meja kepada petugas JPP.

Mereka marah kerana seawal jam 7.30 pagi sudah berada di pusat pengundian, tetapi jam 11 pagi masih belum dapat mengundi, sedangkan jarak yang beratur di luar pusat berkenaan semakin panjang dan menyesakkan.

Petugas JPP PKR yang mengendalikan sistem pengundian itu pula gagal mengawal keadaan pengundi menyebabkan ada dari kalangan mereka mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden pergaduhan ala gangstar.

Namun, bagi bekas ahli seumur hidup PKR yang kena pecat keahliannya, Badrul Hisham Shaharin, menyifatkan kejadian berkenaan sudah dijangka dan itulah PKR.

“Seperti dijangka JPP PKR sengaja mencipta kelemahan bagi membolehkan proses manipulasi dan penipuan dilakukan.

“Inilah yang berlaku kepada bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim pada pemilihan tahun 2010 dan saya sendiri tahun 2014.

“Mangsa seterusnya ialah mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Amirudin Shari (sekarang Menteri Besar Selangor). Tahun ini, siapakah mangsanya?” soal beliau ketika mengulas proses pemilihan PKR yang bermula hari ini.

Menurut Badrul yang lebih dikenali dengan nama Chegu Bard, sistem e-voting tidak berfungsi, petugas JPP sengaja datang lambat dan pada masa sama penipuan berlaku tanpa diberi perhatian, seolah semua itu dirancang.

Katanya, beliau akan mengulas secara terperinci apa yang berlaku di lapan Cabang PKR di Kedah menerusi http://cheGuBard.blogspot.com malam ini.

“Saya akan siarkan bagaimana melalui pemilihan PKR 2018 dan parti itu sedang dijual kepada kelompok bekas UMNO yang korup dan kaya.

“Tahukah anda lebih 2,000 surat pelepasan khas diberikan oleh ibu pejabat parti kepada bekas UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kaya raya menyertai PKR sejak Jun dan Julai lalu?

Mereka ini diberi peluang bertanding pelbagai jawatan yang ada, sedangkan undang-undang atau perlembagaan parti hanya mewajibkan ahli menjadi anggota parti paling minima satu sebelum boleh bertanding.

“Malangnya, undang-undang dan peraturan itu dibakul sampah sendiri oleh ibu pejabat. Sebab itu, tidak hairan kalau setiap penggal berlaku insiden pergaduhan,” katanya.

Sebagai kata seorang netizen, PKR ini, kalau bukan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad tolong sebarkan pelbagai fitnah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, jangan harap parti itu dapat membentu kerajaan.

Ini terbukti, jika PKR bersendirian, proses pemilihan jawatankuasa parti pun tidak pernah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Inilah cerminan pemimpin PKR yang tidak pandai buat kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast