Isu levi pekerja asing yang dinaikkan kepada RM10,000 seorang setahun berbanding kadar tertinggi RM1,850 pada masa ini terus mencuri perhatian.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja asing tidak mungkin dapat menanggung levi setinggi RM8,000 setahun. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Para majikan menggambarkan ‘kelonggaran’ yang diberikan kerajaan kepada majikan dalam soal levi pekerja asing dengan formula 20:80 iaitu pekerja menanggung 80 peratus daripada levi RM10,000 sebagai tidak masuk akal.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja asing tidak mungkin dapat menanggung levi setinggi RM8,000 setahun dan kadar itu hanya akan memaksa pekerja yang mahir balik ke negara asal atau berhijrah ke pasaran kerja negara lain.

Beliau berkata, layanan teruk kepada pekerja asing berpengalaman juga akan menjadikan Malaysia sebagai “buah mulut” antarabangsa.

“Gaji minimum yang diputuskan kerajaan ialah RM1,050 sebulan dan jika pekerja asing perlu menanggung levi RM8,000 setahun, mereka tak mampu menanggung kos hidup di sini.

“Orang lain juga akan mengkritik kita kerana melayan pekerja asing dengan buruk. Pekerja mahir juga akan lari dengan kadar lebih cepat dari negara ini.

“Akhirnya, majikan juga yang menderita apabila kehilangan pekerja yang sudah berpengalaman,” katanya kepada China Press.

Tambahnya lagi, majikan mungkin bersedia menaikkan gaji pekerja asing yang menanggung levi yang tinggi, tetapi keadaan itu juga bermaksud kos gaji yang meningkat akan dialihkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan, Lim Guang Eng pada Isnin memberitahu kerajaan bersetuju agar pembayaran kadar levi berjumlah RM10,000 setahun ditanggung pekerja asing sebanyak 80 peratus, dan majikan pada kadar 20 peratus.

Pelaksanaannya akan melibatkan pekerja asing terlatih yang sudah bekerja lebih 10 tahun di negara ini.

Nisbah itu diumumkan selepas keputusan lebih awal bahawa majikan menanggung levi pekerja asing berjumlah RM10,000 seorang setiap tahun mendapat bantahan keras.

Sesetengah pihak termasuk Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum ini bersetuju bahawa levi pekerja asing harus berada pada paras RM3,000 setahun.

Dalam pada itu, Presiden The Master Builders Association Malaysia, Foo Chek Lee juga berpendapat bahawa nisbah 20:80 adalah tidak dapat dilaksanakan.

Jelasnya kepada Sinchew Daily, seorang pekerja asing yang berpengalaman selama 10 tahun dalam sektor pembinaan mampu memperoleh gaji harian RM120 sehari atau antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Jika mereka perlu menanggung levi sebanyak RM8,000 setahun atau potongan gaji sebanyak RM666 sebulan, maka pasti ramai yang akan berhenti kerja,” katanya.

Menurut Chek Lee, kerajaan seharusnya berikhtiar untuk mengekalkan pekerja asing yang berpengalaman dan bukannya mengaut keuntungan daripada mereka.

Presiden Persatuan Pengeluar Tekstil Malaysia, Datuk Seri T. P. Tan juga memberitahu Sinchew Daily bahawa levi berjumlah RM10,000 adalah terlalu tinggi.

Katanya, kerajaan seharusnya menetapkan supaya majikan menanggung kadar levi semasa iaitu RM1,850 manakala pekerja asing menanggung RM1,150 menjadikan jumlah levi yang dikutip sebagai RM3,000. – MalaysiaGazette