Reaksi Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba untuk sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan majlis besar-besar di Port Dickson pada 8 Oktober ini sebagai usaha terakhir berkempen untuk calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebelum majlis itu, parti komponen PH turut memainkan peranan masing-masing untuk memujuk pengundi luar balik mengundi pada 13 Oktober ini.

“Untuk memastikan calon kita menang, PH bersetuju mengadakan majlis besar-besar untuk kempen calon kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Ditanya adakah Pilihan Raya Kecil (PRK) ini hambar sebagaimana tiga PRK sebelum ini, Dr Mahathir berkata, pengundi sudah penat dengan kempen.

Dalam PRK Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini Anwar ditentang oleh enam calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan Mohd Saiful Bukhary.

Mengenai desakan Bersih 2.0 agar PH tidak menggunakan jentera kerajaan dalam kempen PRK, Dr Mahathir berkata, kebanyakan pemimpin parti komponen PH juga menteri.

“Mereka turun atas nama parti, dan mereka kena buat kerja parti, asalkan mereka tak guna duit,” katanya. – MalaysiaGazette