Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

PORT DICKSON – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan pengundi Port Dickson agar tidak membuat kesilapan sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Amerika pada Januari tahun lalu.

Abdul Hadi yang membuat kemunculan  kali kedua dalam kempen  Pilihan Raya kecil (PRK) Port Dickson berkata, rakyat di sini perlu mengambil iktibar daripada kegagalan rakyat Amerika dalam memilih pemimpin yang bermoral.

“Kita tahu mereka buat satu undi yang pilih Presiden yang ada pada hari ini. Lepas itu berguguran pegawai letak jawatan.

“Rakyat dalam keadaan keluh kesah kerana membuat pilihan raya di mana rakyat tidak diberikan pemimpin yang bermoral.

“Ini yang berlaku. Ia patut jadi pengajaran kepada kita, rakyat Malaysia pun kena ambil iktibar dengan apa yang berlaku di Amerika,” katanya dalam sidang media di markas induk parti itu di Teluk Kemang, hari ini.

Hadir sama, Naib Presidiennya, Datuk Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan calon PRK Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Dalam pada itu, Hadi berkatam beliau bersedia untuk mengadakan forum dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual menghadiri kempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam esok.

“Itu terpulang PM (Tun Dr Mahathir) sendiri rasa tergugat dengan kehadiran saya. Kalau forum dengan PM lagi bagus,” katanya.

Dr Mahathir dijangka bersama-sama duduk sepentas dengan Anwar untuk memastikan Presiden PKR itu mendapat kemenangan dalam PRK nanti.

Situasi itu bakal berlaku selepas 20 tahun kedua-dua mereka bersama-sama dalam kerajaan ketika itu, Barisan Nasional (BN). -MalaysiaGazette