Datuk Mohd Shukri Abdull
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul pada Seminar Gearing Up For Corporation Liability anjuran Malaysia Anti Corruption Academy (MACA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lagi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa apabila tiba waktu yang sesuai.

Pada masa sama, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull memberitahu, beliau juga tidak tahu di mana Musa berada ketika ini.

Ditanya sama ada pemimpin UMNO itu masih berada di hospital, beliau berkata pihak media sepatutnya lebih tahu tentang perkara itu.

“SPRM akan memanggil beliau apabila tiba waktu yang sesuai dan saya tidak tahu di mana beliau berada.

“Awak patut periksa untuk saya,” katanya tersenyum.

Beliau ditemui pihak media selepas menghadiri seminar bertajuk ‘Gearing Up For Corporate Liability’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Pada 6 September lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu hadir memberi keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat di sini membabitkan isu rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pada 25 Mei lalu, SPRM melancarkan serbuan ke kediaman beliau di Luyang di Kota Kinabalu tetapi tidak merampas apa-apa barang.

Empat hari sebelum itu, rumah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga diperiksa dan beliau disoal oleh SPRM kerana beliau disyaki menerima RM20 juta supaya menyebelahi Musa semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Sehari selepas PRU14, iaitu 10 Mei lalu, Musa mengumumkan bahawa Star, yang memenangi dua kerusi DUN pada pilihan raya itu, telah mengisytiharkan sokongan kepada BN Sabah yang menang 29 kerusi, dan dengan itu membolehkan MUSA membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 31 kerusi.

Pada malam 10 Mei, Musa mengangat sumpah sebagai ketua Menteri Sabah tetapi dalam tempoh 48 jam kemudian, presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri selepas beberapa ADUN BN menyertai Warisan dan parti-parti gabungan Pakatan Harapan, yang telah memenangi 29 kerusi. – MalaysiaGazette