Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berbual dengan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil diperhatikan Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim (dua kiri) pada majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan di Masjid Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyepi daripada arena politik buat seketika, akhirnya meluangkan masa untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau yang selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada pankreas Julai lalu membuat kemunculan semula selepas tiga bulan.

“Saya hampir tiga bulan tak beri ucapan di khalayak ramai disebabkan keadaan saya yang agak uzur.

“Inilah pertama kali saya keluar Kuala Lumpur sampaikan ucapan atas sebab nak nyatakan sokongan padu kepada calon PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Port Dickson,” katanya dalam ceramah politik di perkarangan Masjid Bagan Pinang, Port Dickson sebentar tadi.

Hadir sama, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PRK Port Dickson menterjemahkan erti demokrasi yang memberi ruang kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Malah pengundi Port Dickson, katanya, mempunyai pilihan sama ada untuk membenarkan impian itu tercapai atau tidak.

“Ini PRK yang besar ertinya iaitu ruang demokrasi terbuka untuk tentukan wakil di Port Dickson.

“Dia (Anwar Ibrahim) adalah Presiden PKR dan amat bermakna untuk parti. Pengundi Port Dickson memberi laluan kepada beliau,” katanya.

Dalam Ceramah Mega PRK Port Dickson bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin tidak dapat hadir. -MalaysiaGazette