Mujahid
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa beramah mesra dengan sebahagian bersama para peserta yang menyertai Seminar Wakaf Institusi Pendidikan 2018 dan Majlis Pelancaran Buku Panduan Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 OKTOBER 2018.

SERDANGĀ – Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) sedang mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung penganjuran Oktoberfest di ibu negara.

Menterinya Datuk Dr Mujahdi Yusof Rawa menegaskan, umat Islam diminta tidak menyertai pesta arak itu sekiranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan penganjurannya.

“Saya sedang berbincang dengan pihak mufti. Secara asasnya apa saja perkara mungkar seperti minum (arak) dan sebagainya kita minta orang Islam jangan sertai,” katanya ketika ditemui di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Terdahulu Mujahid merasmikan Seminar Wakaf Institusi Pendidikan 2018 dan Majlis Pelancaran Buku Panduan Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad Selasa lalu yang tidak menghalang penganjuran Oktoberfest di pusat beli-belah Mid Valley pada bulan ini.

Khalid berkata, penganjur perlu mengemukakan permohonan kepada DBKL sebelum mereka dibenarkan menganjurkan pesta arak tahunan itu dan mereka perlu mengikut garis panduan yang disediakan.

Mujahid berkata, beliau menyerahkan soal kebenaran penganjuran Oktoberfest itu kepada DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Selain daripada itu Menteri Wilayah akan uruskan dari segi perundangan bagaimana kalau diizinkan apa syarat-syaratnya.

“Saya akan berhubung rapat dengan Khalid Samad supaya isu ini tidak jadi masalah kepada umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette