Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu berkaitan seorang wanita didakwa mengedar dadah, Jun lepas.

Herwadey Hashim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Lelaki itu didakwa telah memberi atau mereka-reka keterangan palsu dengan maksud hendak menyebabkan (atau mengetahui mungkin bahawa) Sarina Kasim, 34, yang bekerja di sebuah syarikat swasta disabitkan atas satu kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengikut undang-undang boleh dihukum gantung sampai mati.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ampang Jaya, di sini pada 11.30 pagi, 29 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 194 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun tahun dan denda, jika sabit kesalahan dan sekiranya seseorang yang tidak bersalah disabitkan dan dibunuh disebabkan keterangan palsu itu, maka orang yang memberi keterangan palsu itu hendaklah diseksa sama ada dengan bunuh atau seksaan yang tersebut dahulu ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan di bawah Seksyen itu tidak boleh dijamin selain kesalahan itu adalah serius.

Bagaimanapun, Herwadey yang diwakili peguam Jamil Mohamed Shafie memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya seorang penjawat awam iaitu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis dan perlu menanggung empat anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa, saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast