Masyarakat India yang merupakan ahli PKR Cabang Kota Raja keluar mengundi.
Masyarakat India yang merupakan ahli PKR Cabang Kota Raja keluar mengundi.

SHAH ALAM – Proses pengundian bagi pemilihan kepemimpinan PKR sesi 2018-2021 di sini, hari ini, berjalan lancar tanpa sebarang pergaduhan atau berlaku kejadian tidak diingini.

Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi Dewan Tulip MBSA, Kampung Bukit Naga bagi Cabang Kota Raja dan Dewan MBSA Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini, menyaksikan ramai ahli keluar mengundi pada sebelah pagi hingga tengah hari.

perayu3
Kumpulan Aspirasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam berkempen merayu undi di pusat pengundian Kampung Bukit Naga.

Keadaan meriah dengan kehadiran perayu undi bagi calon bertanding, yang berkempen dalam suasana aman dan harmoni.

Selangor dikatakan kubu kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor perlu mendapat undi kemenangan bagi membolehkannya merapatkan undi dengan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Proses pengundian di Dewan MBSA Paya Jaras, Sungai Buloh juga berlancar lancar setakat ini.
Proses pengundian di Dewan MBSA Paya Jaras, Sungai Buloh juga berlancar lancar setakat ini.

Sehingga kini, Mohamed Azmin mendapat dua undi yang diperolehi dari PKR Kedah dan Pulau Pinang, manakala Rafizi mendahuluinya empat undi selepas mendapat sokongan dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Pemilihan di Selangor berlangsung dalam tiga fasa iaitu sembilan cabang hari ini, tujuh cabang pada 21 Oktober dan selebihnya enam cabang lagi pada 28 Oktober.

Seramai 249,850 ahli PKR di Selangor layak mengundi, dengan kira-kira 108,000 daripadanya mula mengundi hari ini di Cabang Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Tujuh cabang yang proses pengundian pada 21 Oktober ini ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang, manakala enam cabang lagi melibatkan Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat pada 28 Oktober. – MalaysiaGazette