Yusmadi Yusof bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia khususnya warga Port Dickson telah memberi isyarat jelas bahawa mereka juga mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-8 kelak.

Malah dengan majoriti kemenangan luar biasa yang diperoleh Ketua Umum PKR iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi itu telah membuktikan segelintir pakar dan penganalisis politik ‘salah’ dalam analisis mereka.

Walaupun dari awal lagi Anwar mendapat tentangan termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan termasuk PKR dalam perancangan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson menggantikan Datuk Danyal Ba­lagopal Abdullah, namun ternyata  semuanya meleset.

Tidak cukup dengan itu, peratusan yang keluar mengundi semalam di Parlimen 132 itu juga mengundang kebimbangan, namun ternyata Anwar berjaya membuktikan tiada apa yang menjadi halangan kepada percaturan politik beliau.

MGF13102018_ANWAR RAIH MENANG01
Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan penyokong selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (BGU), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2018.

Menurut Ahli Dewan Negara merangkap Pegawai Khas Anwar, Yusmadi Yusoff kepada MalaysiaGazette, kemenangan Anwar sudah membuktikan beliau bukan sahaja seorang pemimpin hebat malah berkebolehan memimpin negara kelak.

Kata Yusmadi, angka bukan satu ukuran bagi menonjolkan kebolehan Anwar sebaliknya pengalaman sebagai ahli politik yang sudah sebati dengan onak dan duri serta cabaran telah berjaya memberi peluang kepadanya untuk mendekati masyarakat dengan lebih mudah.

“Anda lihat sahaja, dengan mudah beliau mendapat majoriti lebih besar daripada rakyat. Walaupun pelbagai tohmahan, dakwaan serta analisis yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak terhadap beliau, rakyat tidak kisah.

“Pada mereka, beliau adalah yang paling layak memimpin negara. Sebenarnya mereka teruja untuk melihat Anwar bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen untuk kawasan mereka sebaliknya bakal Perdana Menteri satu hari nanti.

“Kerana itu anda lihat begitu ramai yang mahu mengundinya. Ini juga buktikan rakyat tidak mahu lagi menerima pembohongan oleh segelintir pihak, tohmahan yang dilontarkan oleh setengah orang lagi. Pada saat-saat akhir juga ada yang cuba gagalkan beliau.

“Mereka melihat Anwar sebagai seorang pemimpin yang jatuh bangun dengan pelbagai onar duri. Rakyat juga melihat sendiri bagaimana Anwar dinafikan hak hampir 20 tahun. Semua ini adalah antara faktor mengapa beliau menang besar. Rakyat di Port Dickson sudah berikan mandat serta isyarat jelas,” katanya.

Tambah Yusmadi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, rakyat juga teruja untuk melihat gandingan mantap antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar dalam membawa agenda perubahan untuk dan demi rakyat.

Jelas Yusmadi, Anwar juga telah berjaya memberi inspirasi serta kefahaman yang jelas kepada penduduk Port Dickson tentang kepentingan beliau diberikan mandat untuk ke Parlimen.

“Rakyat juga tahu tanpa kuasa agak sukar untuk membawa atau mengubah reformasi seperti yang dikehendaki oleh rakyat. Mereka faham dan sudah tentunya mahu Anwar melakukan yang terbaik untuk mereka.

“Ingin juga saya jelaskan di sini, walaupun mungkin Anwar tahu tentang kekuataan beliau terutamanya bertanding di Port Dickson, namun pada masa yang sama, beliau tidak pernah mensia-siakan peluang yang ada untuk dekat dengan rakyat.

“Beliau tidak sesekali ambil mudah tentang apa jua perkara, saban hari selama tempoh berkempen hampir 10 hingga program bersama rakyat, sikit pun beliau tidak mengadu sebaliknya lebih teruja daripada yang lain.

“Bayangkan sahaja, beliau dapat mengalahkan Tan Sri Isa Samad yang begitu sebati di Negeri Sembilan selama hampir 22 tahun, Anwar adalah orang luar dan kawasan ini sebenarnya lebih pentingkan orang tempatan,” ujarnya. – Malaysia Gazette

Yusmadi Anwar1
Foto Yusmadi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007