JAKARTA – Malaysia cemerlang menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 dengan meraih 17 pingat emas mengatasi temasya sebelum ini di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Atlet luar biasa negara meraih dua lagi emas dalam acara berbasikal final semalam selepas mencapai sasaran 15 pingat kelmarin.
Emas kedua semalam atau ke-17 untuk negara menjadi milik pelumba para basikal, Muhammad Afiq Afify Rizan dalam acara trek lelaki B 1km yang juga berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta.
Kejayaan dua emas itu membolehkan Malaysia menamatkan cabaran di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa berbanding di Incheon 2014menerusi 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.
Di Jakarta 2018, Malaysia meraih lapan emas dalam para olahraga, lima emas (basikal), dua emas (tenpin boling), dan masing-masing satu emas dalam sukan renang dan ping pong.
Sukan olahraga yang menyumbang pingat paling banyak turut gemilang dengan kejayaan dua atlet hebat negara, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Puzi yang mencatatkan dua rekod baharu dunia.
Abdul Latif mencatatkan rekod baharu dunia dalam acara lompat Jauh T20 (7.64 m) manakala
Mohamad Ridzuan, mencatatkan rekod baharu dunia dalam acara lari 100 M T36 (11.87 s).
Malaysia menyertai 15 daripada 18 acara sukan yang dipertandingkan.
Sukan Para Asia 2018 disertai 43 negara yang dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 6 Oktober lalu akan ditutup secara rasmi oleh Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di Stadium Madya, Kompleks Gelora Bung Karno pukul 7 malam ini. – MalaysiaGazette