Tey Kok Kiew
Tey Kok Kiew

MELAKA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka,Tey Kok Kiew dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Wong Fort Pin yang menerima darjah membawa gelaran Datuk pada Sabtu bersedia memulangkan anugerah mereka.

Mereka membuat kenyataan itu selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu supaya pemimpin parti tidak menerima gelaran dan darjah tanpa kelulusan parti.

Kata Guan Eng, pemimpin pusat akan bermesyuarat pada minggu ini berhubung wakil rakyat Melaka dan Sabah yang telah menerima gelaran.

Menurut Guan Eng, mengikut semangat perjuangan DAP, gelaran Yang Behormat (YB) yang diberikan kepada wakil rakyat adalah yang paling tinggi.

Masing-masing Kok Kiew dan Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Kok Kiew memberitahu China Press, sekiranya DAP memutuskan supaya pemimpin parti tidak menerima darjah kebesaran, maka pendirian tersebut harus dimaklumkan kepada semua ahli parti dan juga pemerintah negeri.

Fort Pin pula menyatakan kesediaan untuk memulangkan darjah kebesaran jika DAP memutuskan demikian.

“Darjah kebesaran ini bukan dipohon, malahan kami telah menyatakan kepada Ketua Menteri Melaka dan Yang Dipertua Negeri bahawa kami tidak boleh menerima darjah.

“Nama kami bagaimanapun tetap dicadangkan, dan kami akhirnya menerima kerana menghormati Yang Dipertua Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette