Mohd Redzuan Yusof
Mohd Redzuan Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) komited untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan melalui pembangunan usahawan tersasar.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bagi tujuan itu kementeriannya mensasarkan untuk melahirkan sebanyak 50,000 usahawan dalam golongan B40, M40 dan usahawan sosial setahun untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kementerian Pembangunan Usahawan akan memastikan program-program keusahawanan yang dirangka boleh memberikan impak yang besar kepada ekonomi negara dari aspek peningkatan jumlah usahawan tempatan yang berjaya dibangunkan, kualiti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan serta pasaran eksport yang diterokai.

“Sasaran di bawah Pelan Induk PKS telah menetapkan bahawa PKS boleh menyumbang sebanyak 41 peratus kepada KDNK, 65 peratus kepada gunatenaga dan 23 peratus kepada eksport menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kementeriannya juga telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mewujudkan satu dana pemerkasaan dan keusahawanan anak muda sebagaimana yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan.

Jelas beliau, sebanyak 67 program dan inisiatif dengan implikasi kewangan sebanyak RM1 bilion bagi tahun 2019 disediakan bagi tujuan itu.

Katanya, cadangan itu merupakan dapatan daripada bengkel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Anak Muda yang diadakan pada 25 September lepas.

“MED yakin inisiatif dan program yang dicadangkan untuk usahawan anak muda di bawah satu dana akan dapat memastikan semua program dan aktiviti dirancang dapat dipantau dan diselaras dengan lebih holistik dan komprehensif,” ujarnya. – MalaysiaGazette