Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas selesai menghadiri Forum Ekonomi Belia 2018 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA) di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Jelebu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak bersetuju apabila projek automotif terkini diberi nama projek kereta nasional.

Jelasnya, meskipun kerajaan berkali-kali menyatakan projek tersebut akan dijalankan oleh pihak swasta namun apabila digelarkan projek kereta nasional, ia tidak dapat lari daripada bayangan kerajaan.

“Ford tidak digelar kereta nasional Amerika Syarikat manakala BMW juga tidak dipanggil kereta nasional Jerman.

“Apabila kita panggil kereta nasional, ia tidak boleh lari dari bermaksud projek tersebut dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan atau mendapat dana kerajaan mahupun geran daripada kerajaan sama seperti Proton dahulu.

“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan pihak swasta dan dibiayai sepenuhnya pihak swasta, kita tidak boleh gelarkannya sebagai kereta nasional,” tegasnya ketika menjadi salah seorang panelis dalam sesi Agenda Bajet sempena Forum Ekonomi Remaja di sini hari ini.

Menurut Khairy, beliau sangat mengalu-alukan pelaburan dalam bidang automotif di negara ini asalkan ia dipacu oleh pasaran.

Tambahnya, sekiranya projek kereta nasional ketiga itu dilaksanakan hanya untuk meraih teknologi baharu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berpendapat terdapat banyak cara lain yang tersedia pada zaman sekarang untuk memperolehinya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelabur-pelabur asing semakin menjauhi Malaysia berikutan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Saya ada bertemu dengan ramai pelabur asing dan mereka berkata, sukar untuk melabur atau meletak aset di Malaysia kerana keadaan politik yang tidak stabil.

“Kita ada Perdana Menteri yang sudah berusia 93 tahun dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa dua atau tiga tahun lagi.

“Selama ini pelabur-pelabur asing datang ke Malaysia kerana kita mempunyai kestabilan politik tetapi saya menjangkakan dalam tempoh 24 sehingga 36 bulan akan datang, kita akan berhadapan tempoh yang sukar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairy tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal atau Cukai Kekayaan dalam masa terdekat.

Jelasnya, pengenalan cukai-cukai baharu itu akan menyebabkan pengeluaran modal dari Malaysia.

“Keadaan ekonomi Malaysia sangat rapuh jadi apabila kita melaksanakan cukai-cukai tersebut saya bimbang pelabur dan orang kaya akan membawa wang mereka keluar dari Malaysia.

“Ini bakal memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Khairy yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi atau Menteri Kewangan bayangan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kerangka ekonomi parti berkenaan beberapa hari sebelum pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan di Parlimen.

Katanya, BN tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini sebaliknya kerangka ekonomi itu bakal memberi idea atau cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan. -MalaysiaGazette