SERDANG – Nasib seorang pelajar pengajian tinggi nyaris terkubur apabila cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari dengan sebuah kereta.
Muhammad Izzat Firdaus Zukeri, 24, patah paha, lengan, rahang dan ibu jari kaki.
Bukan sekadar itu, sembilan bulan selepas kemalangan tersebut, pelajar tahun tiga kursus kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu bukan sahaja terpaksa melalui kesakitan yang teramat sangat semasa menjalani proses rawatan pemulihan malah beliau terpaksa menangguhkan semester terakhir untuk setahun berikutan kekawangan kewangan.
Bagaimanapun kasih dan pengorbanan neneknya yang berusia 69 tahun yang menggunakan wang pencen arwah suaminya sebanyak RM700 sebulan membolehkan Muhammad Izzat menggenggam ijazah hari ini.
Muhammad Izzat yang merupakan cucu tunggal Sepiah Seman dari Kampung Kual, Jalan Tok Uban di Pasir Mas setelah ditinggalkan oleh ibu bapanya yang bercerai semasa dia kecil.
“Datuk dia bertegas dan meminta emaknya menandatangani surat persetujuan yang hanya membenarkan melawat anaknya tanpa membawa pulang bersama setelah kecewa perangai tidak bertanggungjawab pasangan itu.
“Selepas datuk dia meninggalkan kami semasa Izzat berusia 6 tahun, sayalah membesarkan Izzat dengan pencen bulanan RM700 itu serta dibantu bapa saudara dia menampung pendidikan mengikut kemampuan mereka,” katanya selepas istiadat konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 hari ini.
Istiadat pada hari ketiga ini menyaksikan seramai 1,796 graduan ijazah sarjana muda dan diploma pelbagai jurusan menerima skrol masing masing.
Sepiah juga sentiasa menjaga segala keperluan cucu kesayangannya itu supaya tidak ada kekurangan dalam pendidikan dan hampir setiap hari menelefon dan bertanya khabar.
“Apabila dia terlibat dalam kemalanga jalan raya, parah dan berkerusi roda hati saya dah hancur sehingga menangis setip hari mendoakan kepada Allah hampir setiap saat supaya selamatkan cucu pulih segera.
“Dia satu-satunya anak harapan hidup saya yang bijak, gembira doa saya termakbul jua. Akhirnya dia sembuh dan berjaya jadi graduan jurutera.
“Harapan saya supaya Izzat jadi insan yang baik dan penyayang serta tidak lupa budi insan yang membantu dia dalam keadaan sukar,” sebak beliau sambil menahan air matanya.
Lebih manis lagi Izzat juga bakal menaiki pelamin pada November ini bersama gadis yang dicintainya, Wan Nor Khalida, 24 yang juga graduan sarjana muda pendidikan Psikologi pada sesi konvokesyen kali ini.
Kata Izzat, ketika ini dia akan mencari pekerjaan sebelum memikirkan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sejak kemalangan itu saya hampir terputus asa, bagaimanapun segala pengorbanan dan kata kata semangat nenek dan bapa saudara serta rakan kampus membolehkan saya dapat mengharugi cabaran dengan berjaya.
“Bayangkan semasa proses pemulihan selama 9 bulan berkerusi roda, mandi dan ke tandas nenek saya yang bantu saya sebagai ibu. Ia memberi kekuatan untuk saya hadir ke kelas disebalik kesakitan dan rawatan rutin di hospital.
“Skrol yang saya genggam hari ini semuanya kerana pengorbanan dan kasih sayang nenek walaupun berilmu tidak seberapa, tanpa dia segala kelayakan akademik hari ini tidak bermakna,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Pengorbanan seorang nenek melebihi segalanya. Tahniah buat nenek ini yg dikurniakan seorang cucu yang gigih, walaupun mengalami kemalangan jalan raya