Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tidak tahu menahu tentang pembelian tanah oleh Bank Negara Malaysia kerana transaksi itu bukan semasa di bawah pentadbirannya.

“Ia (transaksi) bukan semasa saya berada di sana. Saya sudah meninggalkan bank itu tiga tahun dan tidak tahu menahu mengenainya,” kata Zeti selepas Mesyuarat Agung Sime Darby Property.

Zeti yang juga Pengerusi Sime Darby Property berkata, beliau tidak lagi mengambil tahu mengenai Bank Pusat selepas meninggalkannya.

Hari ini, Bank Negara Malaysia mengesahkan beberapa pegawainya memilih untuk bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung pembelian tanah oleh bank tersebut.

Kenyataan berkenaan dibuat selepas empat kakitangan Bank Pusat itu dikatakan bercuti semasa siasatan berhubung pembelian tanah milik kerajaan bernilai RM2 bilion sedang dilakukan oleh beberapa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette