KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal kerana rata-rata yang mengundi Pakatan Harapan (PH) menjadi mangsa kerana akhirnya setiap janji hanya sekadar omong kosong.
Malah kata bekas Presiden UMNO, hampir kesemua yang mengundi itu termakan dengan ‘janji bulan bintang’ yang ditaburkan oleh PH yang kini telah menjadi kerajaan menerajui negara.
“Rata-rata pengundi ingat setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan demi kebaikan rakyat malah insentifnya akan ditambah lagi oleh PH.
“Akhirnya, semua orang termasuk penjawat awam, golongan belia dan juga pemandu teksi di negara yang sebelum ini termakan dengan fitnah, pembohongan serta janji bulan bintang kena ‘kencing’ dengan baik sekali.
“Saya pada awalnya mahu sahaja berkata, padan muka semua yang percaya dengan PH selama ini sehingga membelakangkan jasa serta kebaikan yang dilakukan oleh BN dan UMNO selama ini tetapi saya tidak pula ‘sampai hati,” katanya sambil di ikuti tepukan gemuruh oleh para penyokongnya ketika sesi sembang santai di Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi.
Luahan itu dikatakan juga telah dikongsi rakyat menerusi ruangan komen di Facebook rasmi Najib Razak selama beberapa bulan kebelakangan ini.
Kata Najib lagi, ada juga segelintir yang turut memohon maaf kepadanya terhadap segala tuduhan serta tohmahan selain daripada kekecewaan menyokong kerajaan PH.
“Saya hendak kongsi bila dalam Facebook, walaupun tidak sempat menjawab semua pihak tetapi setiap komen luahan saya akan baca satu persatu. Rata-rata luahkan rasa sesal, mohon maaf termakan fitnah PH.
“Kata mereka, mereka dihasut sehingga termakan fitnah-fitnah itu. Kini baru nampak warna sebenar mereka.
“Anda tahu ini adalah cerita sebenar malah saya minta anda-anda sekelian untuk semak sendiri di laman sosial saya itu. Komen-komen itu masih ada,” tegasnya.- MalaysiaGazette