Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dibuka rendah semasa dagangan dibuka hari ini, berbanding prestasi tinggi pada Jumaat minggu lepas, memandangkan pembentangan Belanjawan 2019 mencetuskan sedikit kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.52 mata kepada 1,702.35 daripada 1,713.87 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 6.2 mata lebih tinggi kepada 1,720.07.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata susulan kerajaan menjangkakan defisit fiskal yang lebih tinggi bagi 2018 berbanding sasaran kerajaan terdahulu, agensi penarafan menyatakan kebimbangan mengenai tahap hutang Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semasa membentangkan Belanjawan 2019, mengumumkan defisit fiskal pada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi 2018, berbanding 2.8 peratus yang disasarkan oleh pentadbiran kerajaan pimpinan Barisan Nasional sebelum ini.

Fitch Ratings, dalam kenyataan berkata, hutang awam Malaysia adalah tinggi berbanding penarafan setara, dan peningkatan hutang seterusnya bagi jangka sederhana boleh memberi kesan penarafan.

Selain itu, dilaporan Lim dijangka berada di Singapura untuk mengadakan lawatan ke agensi penarafan bagi menjelaskan kewajaran Malaysia dalam membuat keputusan Belanjawan 2019.

Di Bursa Malaysia, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 155 berbanding 132, manakala 165 kaunter tidak berubah, 1,388 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 169.20 juta unit bernilai RM192.71 juta.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM9.34, PBBank naik dua sen kepada RM24.64, Tenaga bertambah 10 sen kepada RM14.80 dan PChem meningkat 12 sen kepada RM9.60.

Bagi saham aktif, GenM merosot RM1.36 kepada RM3.18, Vivocom dan Orion masing-masing kekal pada 2.5 sen dan 10.5 sen, manakala Velesto kurang setengah sen kepada 25 sen.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 82.78 mata kepada 11,973.0, Indeks FBM Ace naik 13.90 mata kepada 5,034.45 dan FBM 70 bertambah 39.85 mata kepada 13,775.56.

Indeks FBM Emas susut 51.11 mata kepada 11,806.54 dan Indeks FBMT 100 turun 52.50 mata kepada 11,644.11.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan bertambah 43.13 mata kepada 7,432.95, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 1.25 mata kepada 174.37 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 34.21 mata kepada 17,308.21. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast