KUALA LUMPUR – Calon jawatan Ketua Cabang Silam di Sabah, Romansa Lamin kecewa dengan sistem pemilihan PKR yang didakwa meragukan.
Beliau yang tewas kepada pencabarnya, Haris Tupang hanya mendapat 130 undi dalam Pemilihan PKR 2018 Sabah bagi pusingan kedua, semalam.
Dalam pemilihan tujuh penjuru itu, Haris yang mendapat 338 undi mengalahkan enam calon yang lain.
“Saya akur dengan kekalahan ini walaupun kecewa dengan sistem pemilihan yang agak meragukan, tempang, pengendalian yang culas serta persaingan tidak sihat dan tidak bermoral.
“Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada jentera pemilihan, pengundi, pimpinan tertinggi, kenalan dan kaum keluarga yang sentiasa mendoakan dan memberi sokongan penuh kepada saya sepanjang pemilihan berlangsung,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Calon lain yang turut bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Silam ialah Kamis Burhan mendapat 288 undi, Dr Abdul Hamid Awong (244 undi), Citra Masadi (120 undi), Mohammad Sailama (53 undi) dan Abdul Raibil Jainullah (satu undi).
Kata Romansa, walaupun kalah, perjuangan reformasi akan tetap diteruskan demi mendokong prinsip dan semangat parti Keadilan.
Katanya, reformasi bukan hanya setakat laungan sahaja, tetapi mesti dizahirkan dalam bentuk tindakan.
Dalam pemilihan dua hari yang berakhir kelmarin, penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar tunggalnya, Rafizi Ramli di 25 cabang di Sabah.
Bahagian yang mengadakan proses pemilihan itu ialah Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Kota Marudu, Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Tawau, Kalabakan, Keningau, Sipitang, Beaufort, Putatan, Penampang, Kimanis, Papar, Tenom, Pensiangan, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beluran, Kinabatangan, Silam dan Semporna.
Menurut laman sesawang pemilihan PKR 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohamed Azmin mendahului Rafizi dengan majoriti 1,642 undi. – MalaysiaGazette