KUALA LUMPUR – Penasihat Media Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia menegur Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan statusnya di Instagram berhubung anak muda.
Tengku Asmawi Tuan Umar berkata, Syed Saddiq tidak sewajarnya menggunakan pepatah anak muda sebagai tiang agama, bangsa dan negara.
Sebaliknya kata beliau, Ahli Parlimen Muar itu lebih baik mengambil pepatah Arab iaitu “pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan” kerana ia adalah lebih sesuai mengikut perkembangan semasa ketika ini.
Menurutnya, solat merupakan tiang agama.
“Ini mungkin sesuai kerana kalau kita sebutkan pemuda itu tiang agama, bangsa dan negara, bolehlah juga tetapi kebanyakan pemuda hari ini ramai “geng patah”, penganut fahaman LGBT sahaja pun katanya melebihi 300,000 ribu orang.
“Ambo (saya) ini bukanlah suka mengomel dan mengomen (mengulas) kenyataan seseorang apatah lagi kenyataan tersebut keluar daripada mulut seorang politisi atau politikus bertahap wazir (menteri),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Asmawi mengulas mengenai status yang dimuat naik Syed Saddiq di Twitter minggu lepas berhubung anak muda.
Menerusi laman sosial itu Syed Saddiq menulis, “Percayalah, anak muda adalah tiang agama, bangsa dan negara”.
Bagaimanapun, tidak diketahui tujuan Syed Saddiq menulis status berkenaan bagi merujuk apa-apa perkara.
Dalam pada itu Asmawi turut menimbulkan persoalan sama ada status Syed Saddiq itu bersifat umum bagi menunjukkan bahawa betapa golongan pemuda itu amat penting dalam pembangunan sesebuah negara termasuklah kepada agama dan bangsa.
“Kesimpulannya,jika kita sebagai seorang yang mempunyai pengaruh, kuasa dan maka berhati-hatilah dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mengundang kecaman umum apatah lagi ianya berkait isu-isu keagamaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette