Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemimpin gerakan baju merah, Mohd Ali Baharom sama perangai seperti Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menurutnya, kedua-dua individu itu dikenali umum bukan kerana sifatnya yang baik tetapi disebabkan tingkah lakunya yang tidak wajar diteladani.

“Ali Tinju mungkin banyak orang kenal dia bukan pasal cerita yang bagus. Media yang banyak cover dia macam dulu, sama dengan Jamal jamban juga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju yang membuat permohonan untuk menyertai PPBM baru-baru ini.

Semalam tular di laman sosial apabila sekeping gambar menunjukan bekas penyokong tegar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak itu menyerahkan borang keahlian parti berkenaan di kawasan Bandar Tun Razak.

Ali turut mengesahkan individu didalam gambar berkenaan adalah dirinya.

Pada Mei 2012 lalu, Ali Tinju mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah seorang panglima kepada Najib dan sanggup mempertahankan bekas Perdana Menteri itu.

Ali pada 2015 ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan selepas kenyataannya tersebar di aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan parti pimpinannya mempunyai prinsip perjuangan dan hanya akan menerima ahli dalam kalangan mereka yang berpegang kepada prinsip parti.

Katanya, ia meliputi perkara-perkara penting seperti tidak mempunyai rekod buruk atau sejarah yang tidak baik.

“Itu akan diputuskan dalam setiap permohonan secara automatik. Kalau kita anggap dia  (Ali Tinju) tidak baik maka kita akan tolaklah permohonannya,” tegasnya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, individu seperti Ali dan juga Jamal yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar tidak mungkin layak untuk menjadi ahli dalam PPBM yang kini sebahagian daripada parti yang berjaya membentuk kerajaan.

Katanya, meskipun permohonan Ali untuk menjadi ahli PPBM sudah diterima namun, sekiranya saringan yang dibuat tidak melayakkannya maka permohonan tersebut akan ditolak. – MalaysiaGazette

Ali Tinju sahkan serah borang masuk PPBM