KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) berpangkalan di UK membuka permohonan bagi calon Felo Pelawat kelapan di OCIS di bawah Program Sarjana Tamu (SIR) dalam Kewangan Islam bagi tahun akademik 2019/20 bermula Oktober 2019.

Program SIR merupakan inisiatif untuk penyelidikan terhadap isu-isu kontemporari dalam kewangan Islam, khususnya dalam bidang pasaran modal Islam.

SC berkata, program itu merupakan inisiatif berterusannya berkaitan kepimpinan pemikiran dan pembangunan keupayaan untuk mempergiat perkembangan pasaran modal Islam di peringkat global.

Pemohon dan calon-calon program ini mestilah berpengalaman luas dalam kewangan Islam dan/atau bidang yang berkait rapat dan menunjukkan kebolehan untuk menjalankan penyelidikan akademik secara bebas. Tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Februari 2019.

Katanya, sarjana terpilih akan memulakan program tamu di Oxford untuk menjalankan penyelidikan dan menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS.

Di samping itu, Felo Pelawat tersebut hendaklah menyampaikan syarahan dan menjalankan seminar dari semasa ke semasa, melibatkan diri dalam kajian bersama, dan menjalankan program bersama institusi-institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Program SIR telah dimulakan pada tahun 2012 berikutan keputusan yang dibuat ketika Sidang Meja Bulat SC-OCIS mengenai Kewangan Islam, satu acara tahunan utama.

Sejak pelancarannya, enam orang sarjana telah berjaya melengkapkan penyelidikan mereka dalam topik kontemporari yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala dua orang sarjana kini sedang menjalani program Felo Pelawat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Felo Pelawat di laman sesawang OCIS di www.oxcis.ac.uk. – MalaysiaGazette