KUALA LUMPUR – Ekonomi negara berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Malaysia merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan disebabkan oleh perkembangan penggunaan swasta yang kukuh berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada kadar sifar.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan menyokong pertumbuhan, sementara sektor perlombongan terus menerima kesan daripada kejutan pengeluaran.

Sektor pertanian kekal lemah disebabkan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran dalam suku sebelum ini.

Gabenor BNM,  Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata,  Malaysia berada pada landasan untuk pertumbuhan 4.8 peratus pada 2018 dan 4.9 peratus tahun depan.

“Menjelang tahun 2019, aktiviti sektor swasta akan terus menjadi pemacu pertumbuhan utama memandangkan rasionalisasi perbelanjaan sektor swasta berterusan,” katanya.

Bank Pusat itu menambah, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat 1.6 peratus lebih pantas berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

Inflasi keseluruhan menurun kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018 (S2 2018: 1.3%), mencerminkan terutamanya kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar.

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018 memberikan impak yang sedikit ke
atas inflasi pada suku ketiga.

BNM berkata, pada masa depan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.

Aktiviti sektor swasta akan terus berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan di tengah-tengah penyusunan semula perbelanjaan sektor awam.

Bagi tempoh selanjutnya pada tahun 2018 dan menjelang tahun 2019, pemulihan pengeluaran komoditi secara beransur-ansur juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

Inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan kadar purata tahunan yang rendah pada tahun 2018, sebahagian besarnya mencerminkan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar dan harga minyak dalam negeri yang
stabil, katanya.

Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri.

Kata BNM, meskipun kesan dasar cukai penggunaan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada tahun 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun tersebut. – MalaysiaGazette