Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menikmati pulangan sepenuhnya daripada kenaikan harga minyak dunia sejak enam bulan yang lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, eksport gas Malaysia telah terjejas teruk akibat gangguan pengeluaran gas di lapangan gas Kebabangan di pesisir pantai Sabah sejak suku kedua tahun ini.

Katanya, Kerja baik pulih serta pemeriksaan rapi sedang giat dijalankan sekarang dan pengeluaran daripada lapangan gas ini hanya dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.

“Gangguan bekalan telah menjejaskan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan pendapatan kerajaan daripada cukai pendapatan petroleum.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian juga telah menunjukkan pengeluaran perlombongan jatuh 5.3 peratus tahun-ke-tahun untuk tempoh Mei-September berbanding dengan indeks keseluruhannya yang naik 2.2 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini.

Guan Eng menambah, kejutan bekalan ini dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun 2019.

Kesan ini dapat diperhatikan dalam jadual di bawah yang mana peningkatan harga minyak dunia telah gagal meningkatkan pendapatan kerajaan daripada cukai petroleum akibat gangguan pengeluaran.

Katanya, daya tahan ekonomi yang berterusan adalah bukti bahawa ekonomi Malaysia tidak bergantung kepada harga minyak dunia seperti dahulu, terutama sekali apabila kerajaan hanya menerima manfaat yang terhad daripada kenaikan harga minyak dunia.

“Daya tahan ini berasaskan pasaran kewangan tempatan yang matang serta kestabilan politik yang disediakan oleh kerajaan baharu yang telus,” ujarnya.

Tambahan lagi, katanya, kepelbagaian ekonomi adalah satu sumber daya tahan Malaysia di mana sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing membentuk 23 peratus dan 55 peratus daripada KDNK.

Katanya, hanya 9 peratus daripada KDNK disumbangkan oleh sektor perlombongan.

“Kepelbagaian ini bermakna ekonomi Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara Arab Saudi di mana sektor perlombongan membentuk 25 peratus daripada KDNK negara tersebut.

“Perbandingan langsung antara dua negara ini tidak sesuai kerana terdapat perbezaan yang ketara di antara dua ekonomi ini,” tambah Guan Eng. – MalaysiaGazette