Walaupun Mohamed Azmin setakat ini telah mengumpul 58,949 undi iaitu mendahului Rafizi yang memperoleh 55,628 dengan majoriti 3,321 undi, tetapi kemenangan belum pasti buat Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.
Walaupun Mohamed Azmin setakat ini telah mengumpul 58,949 undi iaitu mendahului Rafizi yang memperoleh 55,628 dengan majoriti 3,321 undi, tetapi kemenangan belum pasti buat Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meramalkan pesaingnya, Datuk Seri Azmin Ali akan memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis biarpun keputusan rasmi belum diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti.

Katanya, Azmin akan menang dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus, berbanding dengan dirinya sekitar 49 peratus.

“Jumlah undi ini berlatar belakangkan persoalan mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang dipersoalkan oleh semua calon yang bertanding.

“Ada beberapa isu yang menjadi kontroversi, termasuklah kebebasan pengawas-pengawas oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang daripada awal lagi dipersoalkan kerana aduan-aduan yang mereka berat sebelah,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau mempunyai bukti kukuh bagaimana undi-undi telah hilang secara sistematik seperti yang dibentangkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang melibatkan undi di cabang-cabang besar yang dilihat berpihak kepada beliau.

“Kita juga dikejutkan dengan peristiwa “penghadang isyarat” (jammer) di Kuala Selangor dan talian Celcom dipotong di Pensiangan.

“Paling kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Julau dan kehadiran aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian. Pada hari kejadian, JPP mengakui peranti tablet telah dicerobohi dan mengumumkan menggantung keputusan di Julau,” dedah Rafizi.

Rafizi juga bertegas keperluan untuk mengadakan semula pemilihan di Julau, Sarawak.

Beliau beralasan bahawa JPP mengakui wujudnya pencerobohan terhadap pemilihan itu.

Ia dibuktikan dengan penahanan Ketua Unit IT JPP, Alvin Teoh untuk siasatan polis.

“Dengan perbezaan undi sekitar 2,500 sahaja atau kurang dari 2 peratus dari jumlah keseluruhan yang keluar mengundi, pengundian di Julau (yang mempunyai lebih 13,000 anggota) boleh mengubah keputusan untuk jawatan Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan lain.

“Saya ada asas yang kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan,” katanya. – MalaysiaGazette