Profesor dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Profesor Dr. Jamal Othman bercakap kepada media pada Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2018

BANGI- Malaysia bakal menikmati kelebihan daripada ‘perang’ perdagangan Amerika Syarikat (AS)- China apabila banyak negara mula mencari sumber lain yang lebih murah menggantikan produk yang dikenakan tarif oleh kedua-dua negara tersebut.

Menurut Prof. Dr. Jamal Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, ramai yang takut berhadapan dengan perang perdagangan dua kuasa besar dunia tersebut sedangkan Malaysia mempunyai peluang luas untuk meraih keuntungan daripadanya terutama dari segi perdagangan.

“Apabila tarif dilaksanakan oleh AS dan China, negara-negara lain akan mencari sumber yang lebih murah dan Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk menawarkan bekalan pada harga yang lebih rendah.

“Ini akan menyebabkan perdagangan negara menjadi lebih baik dengan eksport semakin tinggi dan import pula pada harga lebih rendah.

“Meskipun pasaran saham tempatan mungkin mengalami sedikit impak daripada perang perdagangan AS-China tetapi sektor perdagangan akan berkembang, malah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan meningkat walaupun pada jumlah yang amat sedikit tetapi ia adalah satu perkembangang positif di sebalik kebimbangan banyak pihak terhadap kesan negatif pertelingakahan dua ekonomi utama dunia itu.

“Dalam perang perdagangan ini, pihak yang betul-betul menderita adalah AS dan China sahaja dan saya rasa tidak lama lagi mereka akan duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian terbaik mengakhiri perang tersebut,” katanya semasa sidang media selepas menjadi salah seorang panelis perbincangan meja bulat bertajuk Perang Perdagangan: Pihak yang Menang dan Pihak yang Kalah di UKM hari ini.

Jamal meramalkan KDNK negara akan berkembang sekitar 0.002 peratus lebih baik daripada jangkaan di sebalik kebimbangan terhadap kesan negatif perang perdagangan AS-China.

Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara berkembang 4.8 peratus pada tahun ini dan 4.9 peratus pada 2019.

Tambah beliau, sektor yang paling mendapat banyak manfaat daripada perang perdagangan tersebut adalah minyak sawit dan pengilangan.-MalaysiaGazette