Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution (kanan) menunjukkan Buku Modul Etika Perniagaan Malaysia sambil diperhatikan Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan KPDNHEP, Datuk Muez Abdul Aziz (tengah) pada majlis perasmian modul tersebut di Hotel Palm Garden, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA- Kerajaan tidak merancang untuk menurunkan harga minyak masak bersubsidi meskipun harga minyak sawit sedang mengalami kejatuhan ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan mahu menjimatkan tanggungan subsidi minyak masak dengan mengekalkan harga RM2.50 sekilogram.

“Apabila pemberian subsidi bersasar minyak masak diperkenalkan, kerajaan memperuntukkan RM700 juta untuk mengekalkan harga RM2.50 sekilogram bagi minyak masak di dalam kampit.

“Dengan penurunan harga minyak sawit, kerajaan sebenarnya dalam menjimatkan tanggungan subsidi dengan banyak apabila masih mengekalkan harga RM2.50 sekilogram itu,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Modul Etika Perniagaan Malaysia di sini hari ini.

Saifudin bagaimanapun tidak mempunyai angka tepat penjimatan yang dihasilkan kerajaan susulan kejatuhan harga minyak sawit kebelakangan ini.

Menyentuh mengenai minyak masak di dalam botol (tidak bersubsidi), Saifudin berkata, peniaga telah mula menurunkan harganya daripada sekitar RM21 untuk lima liter kepada kira-kira RM18 mengikut jenis.

“Harga minyak masak tidak bersubsidi ditentukan oleh pasaran dan proses penyulingannya.

“Minyak masak yang menjalani proses penyulingan yang lebih banyak atau lebih berkualiti dijual pada harga yang lebih mahal,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan sepatutnya berbincang dengan pengusaha dan kilang minyak masak untuk menurunkan harga produk masing-masing sejajar dengan kejatuhan harga bahan mentah itu.

Katanya, harga minyak sawit untuk bulan Disember hanya RM1,775 satu tan atau turun hampir 50 peratus berbanding harga pada akhir tahun 2016.- MalaysiaGazette