Kenderaan yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba berhubung siasatan kes projek solar sekolah Sarawak di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Sebuah Kenderaan Proton Perdana hitam dengan nombor pendaftaran TN50 dipercayai dinaiki Najib kelihatan masuk melalui pintu utama SPRM pukul 9.24 pagi.

Namun beberapa pemberita yang berkumpul di pintu utama SPRM tidak dapat melihat dengan jelas kereta berkaca hitam itu untuk mengesahkan individu di dalam kenderaan bernombor TN50 itu adalah Najib.

Pada awalnya beberapa pegawai SPRM yang dihubungi memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang kehadiran bekas Presiden UMNO itu ke ibu pejabat SPRM.

Ini merupakan kali kedua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Pekan itu dipanggil untuk dirakam keterangan mengenai projek tenaga solar sekolah.

Kali pertama kali Najib hadir memberi keterangan berkaitan isu yang sama pada 8 November lalu.

Selain Najib, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dipanggil SPRM sebelum dirakam keterangan selama lima jam berhubung kes sama pada Oktober lalu.

Pada 9 Julai lalu, bekas pegawai khas kepada Najib ditahan SPRM sebelum direman enam hari bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.-MalaysiaGazette