KUALA LUMPUR – Kelewatan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 kerana peperiksaan itu diadakan dua minggu lewat berbanding tahun lalu.

Ini kerana, terdapat beberapa cuti umum pada awal dan pertengahan September 2018.

Kementerian Pendidikan berkata, pelaksanaan UPSR itu telah menyebabkan kelewatan pemeriksaan skrip jawapan.

“Lembaga Peperiksaan juga perlu mematuhi prosedur penjaminan kualiti yang ditetapkan bagi memastikan ketepatan keputusan yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, para pelajar Tahun 6 akan mendapatkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan UPSR pada 29 November ini pada pukul 10 pagi di sekolah masing-masing.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama Lembaga Peperiksaan mengeluarkan keputusan UPSR semasa cuti persekolahan.

Esok merupakan hari terakhir bagi sesi persekolahan tahun ini. – MalaysiaGazette