Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dicabar membuktikan bagaimana 10 isu utama negara termasuk kos sara hidup, GST dan Datin Seri Rosmah Mansor ada kaitan dengan 1MDB.

Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu perlu meneliti semula dokumen siasatan 1MDB bukan hanya mempercayai dakwaan DoJ Amerika Syarikat.

“Saya cabar KJ dan pentaksub KJ bagaimana kos sara hidup kerana 1MDB. Besok bagi jawapan pertahan hujah anda atau barang naik atau kes Rosmah kerana 1MDB,” ujarnya dalam sidang live FB bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam semalam.

Menurut Tun Faisal yang pernah orang kuat JASA, KJ juga sepatutnya membaca dokumen yang pernah dikeluarkan 1MDB dan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebelum ini yang tidak pernah mengesahkan kehilangan wang RM2.6 bilion berlaku dalam 1MDB.

Sementara itu, Lokman pula mendakwa KJ dahulu gagal menjernihkan isu 1MDB daripada serangan Pakatan Harapan (PH) sehingga memaksa beliau dan Tun Faisal sendiri mencari fakta sebenar mempertahankan Datuk Seri Najib Razak.

KJ dalam sesi interbiu dengan portal online kelmarin mendakwa 10 isu utama semasa PRU-14 ada kaitan dengan 1MDB termasuk kos sara hidup dan GST sehingga menjadi punca kekalahan Barisan Nasional.

Beliau juga mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menyedari perkara itu namun sukar untuk menyatakannya kerana beliau bersahabat baik dengan Najib.- MalaysiaGazette