Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Majlis Lawatan Presiden UMNO ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tetap hadir pada Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini.

Katanya, himpunan itu bukan dianjurkan oleh UMNO namun sebagai parti yang mendokong Perlembagaan Persekutuan, maka kepimpinan mengambil keputusan untuk menyertai himpunan berkenan.

“Pada 8 Disember nanti mengikut perancangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Induk, UMNO akan berikan sokongan sebagai mengucapkan terima kasih kepada komitmen kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD ini.

“Sebagai tanda terima kasih itulah, kami akan turun beramai-ramai dalam perhimpunan berkenaan,” katanya dalam sidang media sempena program lawatan beliau ke UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Perdagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khalid Nordin, Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abd. Rahim, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata pihaknya yakin dalam mengumpul sekurang-kurangnya 500,000 peserta yang akan berhimpun di Dataran Merdeka nanti.

UMNO bersama Pas menyatakan sokongan terhadap himpunan itu dan akan mengarahkan ahli-ahlinya untuk turut serta.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ahlinya dibenarkan untuk menyertai himpunan berkenaan biarpun soal kebenaran untuk berhimpun masih belum diluluskan.

“Soal permit diberikan atau tidak itu terpulang kepada pihak pengajur untuk memohon. Tetapi komitmen kami untuk hadir jelas sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata kenyataan Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan langkah UMNO untuk menyertai himpunan berkenaan hanyalah pandangan peribadi.

“Itu pendapat peribadi dia tapi kita amat menghormati pihak penganjur yang telah menganjurkan perhimpunan berkenaan,” katanya lagi.

Khairy yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO semalam menggesa himpunan bagi meraikan kemenangan menentang ICERD tidak seharusnya diteruskan.

Rasionalnya, bekas menteri itu berkata perkara itu telah ditarik balik oleh PH.

Ditanya samada penolakan ratifikasi terhadap ICERD yang giat ditentang oleh UMNO sebagai satu kemenangan, Ahmad Zahid berkata, itu terpulang kepada rakyat khususnya kamu Melayu untuk menghakimi samada tentang kearah itu berjaya atau tidak.

“Itu terserah kepada interpretasi dan analisis rakyat tetapi ini bukan hanya perjuangan UMNO dan Pas sahaja. Ianya bukan isu politik tapi perjuangan rakyat terutamanya masyarakat Islam,” katanya lagi. -MalaysiaGazette