Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Lawatan Presiden UMNO ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak mahu mencabar pihak Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun beliau tidak takut dan akan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa.

“Saya bukan mencabar mereka, tidak. Takkanlah saya mantan Menteri Dalam Negeri, saya tak tahu apa boleh cakap, apa yang tak boleh cakap,” katanya dalam program lawatan beliau ke UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Perdagangan Dunia Putra hari ini.

Ahmad Zahid antara sembilan individu yang dipanggil memberikan keterangan berhubung satu ucapan yang dibuat oleh beliau di Himpunan Kebangkitan Ummah di Pasir Salak, minggu lalu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim baru-baru ini.

Selain Ahmad Zahid, individu yang turut dipanggil adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah, Pengerusi Gabungan 3, S. Ragvinder, Timbalan Pengerusi Gabungan 3, Amran Ahmad Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, ADUN Tras, Chow Yu Hui,Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyars atau Edi Rejang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, UMNO bukan mendesak untuk Waytha Moorthy dipecat namun perkara itu harus dilakukan kerana pemimpin Hindraf itu dilihat tidak mampu untuk mengalas tanggungjawab sebagai Menteri Perpaduan.

“Kalau tak dapatkan menjalankan tugas menteri perpaduan sebaliknya lakukan perpecahan sila letak jawatan, itu sahaja.

“Menteri Luar (Datuk Saifuddin Abdullah) pulak pertahankan ratifikasi kerana gerakan reformasi, kamu ini orang Islam ke orang apa? Ini bukan soal politik, kita hanya menuntut apa yang dalam perlembagaan kita mahu pertahankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette