Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Firma audit Deloitte Malaysia kini dirujuk kepada Jawatankuasa Displin, menurut Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Deloitte adalah firma audit yang mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“MIA mengesahkan telah menjalankan penyiasatan terhadap Deloitte yang mana kesnya sekarang didengar di peringkat jawatankuasa disiplin,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurmazilah Mahdzan dalam kenyataan di sini.

Deloitte disiasat oleh MIA kerana disyaki melanggar Akta Akauntan 1967 apabila melakukan pengauditan terhadap akaun 1MDB pada tahun 2014.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Kepong telah mempersoalkan status siasatan ke atas Deloitte yang mengendalikan audit firma 1MDB.

Menurut Lim Lip Eng, eksekutif utama Deloitte telah mempertahankan tugas-tugas mereka apabila memberi keterangan kepada Jawatankuasa Akaun Awam pada tahun 2015.

Lantaran itu, MIA telah diminta untuk melakukan siasatan.

Deloitte pada bulan Julai 2016 telah meletak jawatan sebagai juruaudit 1MDB dan pada bulan yang sama mengumumkan bahawa laporan audit yang dikeluarkan berkaitan dengan penyata kewangan 1MDB 2013 dan 2014 tidak boleh dijadikan sandaran.

Firma itu tidak lagi dikaitkan dengan 1MDB selepas aduan sivil difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 20 Julai tahun yang sama.

Deloitte berkata, aduan itu mengandungi maklumat yang diketahui ketika audit yang dijalankan pada tahun 2013 dan 2014 telah memberi kesan kepada penyata kewangan dan laporan audit.

MIA adalah badan perundangan yang memantau akauntan-akauntan secara profesional berdasarkan peruntukan di bawah Akta Akauntan 1967.

KPMG telah mengambil tempat Deloitte pada Disember 2013 sebelum menerbitkan laporan audit tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast