KUALA LUMPUR – Kerajaan masih sedang berurusan dengan Kementerian Luar India dalam isu pemberian visa percuma selama 14 hari untuk rakyat Malaysia yang melawat ke negara tersebut.
Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang perkembangan terbaharu dalam perkara itu.
“Kementerian Luar India sudah bersetuju untuk mempertimbangkan permintaan visa percuma 14 hari untuk rakyat Malaysia semasa lawatan kerja saya pada Oktober lalu.
“Namun menteri itu sepatutnya ke sini untuk perjumpaan berkaitan perbincangan isu Visa itu November ini, tetapi ia tidak berlaku,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Life At Work 2018 anjuran Talent Corporations Malaysia Berhad di Nexus Bangsar South di sini hari ini.
Majlis itu menghargai organisasi dan syarikat dari korporat dan swasta yang mengorganisasikan tempat kerja yang berinovatif untuk keselesaan pekerja masing masing.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya merangkul anugerah dalam dua kategori di majlis tersebut.
Kulasegaran telah menjawab pertanyaan wartawan mengenai status mengenai Visa Percuma selama 14 hari untuk rakyat Malaysia ke India selepas kadar terbaharu dokumen itu dinaikkan dari RM200 sehingga RM450 bagi tempoh setahun oleh kerajaan republik itu.
Ia mencetuskan kekesalan dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya mereka yang sentiasa berulang alik ke India atas urusan ibadat dan perniagaan.
Ditanya apakah pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan India untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tersebut, Kulasegaran menjawab segala usaha sedang diambil dalam isu berkenaan.
“Kami harapkan perkembangan positif (visa percuma 14 hari),” tegasnya tanpa enggan mengulas lanjut.-MalaysiaGazette