SUBANG JAYA – Keadaan kecoh di kawasan Perumahan USJ 25 berhampiran kuil Sri Maha Mariamman apabila polis mengejar sekumpulan pemuda yang berdegil emggan bersurai walaupun arahan menyusul beberapa kali sejak 10.30 malam tadi.
Sekitar 1 pagi tadi polis menurunkan anggota pasukan Light Strike Force sebelum memberi amaran terakhir meminta pemuda yang berkumpul itu bersurai segera.
Tidak sampai seminit arahan itu, polis mengejar setiap pemuda itu dan mencekup mereka bersama motosikal dan kereta yang dinaiki mereka.
Sekitar lapan orang ditahan bagaimanapun empat daripada mereka dibebaskan selepas diperiksa rapi manakala selebihnya digari.
Salah seorang pemuda ditahan polis merupakan calon SPM yang akan menduduki kertas pendidikan agama Islam pada pagi ini.
Dianggarkan lebih 500 orang berkumpul secara berkelompok kecil di kawsan tersebut sejak lewat malam tadi.
Seorang lelaki turut ditahan di pekarangan tapak kuil selepas dipercayai menghalang polis dengan motosikal dan enggan mengalihkan motosikalnya sehingga menyebabkan dua pegawai polis terjatuh. – MalaysiaGazette