Mujahid Yusof
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) menerima zakat perniagaan dari Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga kiri) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PNS di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menyerahkan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM2,161,875.00 bagi tahun 2017.

Zakat itu diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ -MAIWP) dengan disaksikan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Ia diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Menurut Mujahid, sumbangan oleh badan pelaburan ini nyata memberikan ruang kepada PPZ dalam menjalankan tugas bagi mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

Malah, beliau sangat mengalu-alukan peranan syarikat besar di negara ini yang bertanggungjawab menunaikan tuntutan zakat dalam Islam.

“Bukan sahaja mengagihkan tetapi juga membina ruang dan peluang asnaf khususnya fakir miskin untuk mereka bina keupayaan diri mereka dan keluar daripada lingkungan mereka yang layak menerima zakat sehigga akhirnya mereka pula yang lain berikan zakat.

“Ini akan menyemarakkan lagi usaha kami untuk menghebatkan institusi zakat ini di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui media.

Menurut Abdul Rahman, jumlah itu berdasarkan demografi pelabur yang berada di Wilayah Persekutuan yang mempunyai pelaburan kira-kira RM30 bilion dalam PNB.

“Kami amat yakin duit zakat ini akan dipergunakan dengan baik mengikut syarak dan kita akan teruskan pembayaran ini untuk tahun hadapan.

Untuk rekod, sejumlah 300,000 pelabur PNB adalah daripada Wilayah Persekutuan.

Turut hadir ialah Pengerusi PPZ- MAIWP, Datuk Che Mat Ali, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset PNB, Datuk Idris Kechot dan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB, Datuk Mohd Nizam Zainordin.-MalaysiaGazette