ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dalam jajaran antara paras 1,680 dan 1,710 minggu depan, susulan jangkaan berita baik daripada faktor luaran, khususnya hasil Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires, Argentina.

Ketua Pegawai Urus Niaga M&A Securities Sdn Bhd, R. Sundararajah berkata sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dapat mencapai persefahaman dalam perjanjian perdagangan, ia sudah pasti menjadi pemangkin untuk pasaran memberi reaksi positif minggu depan.

“Beijing telah memberikan petanda bahawa pihaknya mahu menyelesaikan kemelut perdagangan semasa jika ia adil untuk kedua-dua pihak. Tekanan ke atas minyak mentah juga akan memberi kesan kepada pasaran sehingga tahap tertentu.

“Minyak mentah Brent, yang pada masa ini berada di bawah US$60 setong, bukanlah satu berita gembira bagi Malaysia, begitu juga buat sektor minyak dan gas,” katanya kepada Bernama.

Kesimpulannya, Sundararajah berkata pasaran saham tempatan masih akan bergelut dengan ketidaktentuan ini, justeru itu, peningkatan dijangka dihadkan pada sekitar 1,710 mata.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata Bursa Malaysia dijangka mengalami tidak banyak perubahan minggu depan pada paras 1,700 mata.

Beliau berkata indeks komposit (CI) tidak mencatatkan banyak pergerakan dan kekal pada sekitar jajaran 1,700 mata sejak minggu ketiga Oktober tahun ini.

“Lazimnya, CI akan merekodkan aliran mendatar semasa tempoh ini, pada bulan terakhir tahun ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya mencatatkan prestasi tinggi berikutan faktor luaran, termasuk keyakinan pelabur terhadap Sidang Kemuncak G20 dan pertemuan antara Trump dan Xi di luar acara itu, selain pengumuman peningkatan kadar faedah yang lebih perlahan oleh Rizab Persekutuan AS.

Pasaran saham tempatan juga dipengaruhi oleh prestasi Wall Street dan pasaran serantau, serta harga minyak mentah.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 16.02 mata lebih rendah kepada 1,679.86.

Indeks FBM Emas susut 174.55 mata kepada 11,604.34, Indeks FBMT100 turun 149.56 mata kepada 11,480.05 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 202.38 mata kepada 11,633.44.

FBM 70 merosot 332.04 mata kepada 13,541.91 dan FBM Ace jatuh 175.76 mata kepada 4,67.43.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan mencatatkan aliran berbeza apabila meningkat 54.63 mata kepada 17,369.22, namun Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 2.03 mata kepada 170.43, manakala Indeks Perladangan susut 328.88 mata kepada 6,853.27.

Perbandingan Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.84 bilion unit bernilai RM13.13 bilion daripada 6.96 bilion unit bernilai RM6.04 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 7.72 bilion unit bernilai RM12.47 bilion berbanding 4.33 bilion unit bernilai RM5.41 bilion pada Jumaat lepas.

Waran mencatatkan jumlah dagangan 1.83 bilion unit bernilai RM414.34 juta berbanding 1.48 bilion unit bernilai RM371.96 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE adalah lebih tinggi iaitu 1.25 bilion saham bernilai RM257.08 juta berbanding 1.14 bilion saham bernilai RM254.49 juta minggu lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast