Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bukan sahaja menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menjadi kerisauan rakyat terutama orang Melayu, tetapi berikrar untuk sentiasa menolak mana-mana perundangan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata, pendirian kerajaan Johor mudah iaitu dengan keunikan dan asas kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Malaysia tidak perlu meratifikasikan ICERD atau meratifikasikan mana-mana konvensyen antarabangsa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sedia maklum bahawa isu ICERD sudah selesai. Kerajaan persekutuan juga sudah mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasikan ICERD.

“Permintaan saya ialah jangan politikkan lagi isu ini, kerana akhirnya boleh membawa perpecahan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut), Hahasri Hashim (BN-Panti) dan Datuk Onn Hafiz Ghani (BN-Layang-Layang) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri terhadap sebarang usaha meratifikasi ICERD pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

“Walaupun banyak negara telah menandatangani ICERD, masih terdapat banyak negara juga belum meratifikasikannya. Ratifikasi secara mudah bermaksud setuju untuk terikat dengannya.

“Oleh itu, satu tempoh diperlukan bagi mengkaji dan melaksanakan penyelidikan khusus berkaitan ICERD. Kajian harus diterjemahkan dengan hasil yang relevan terutama dengan suasana majmuk negara kita,” katanya.

Sementara itu, Osman berkata sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini, sebanyak 669 pusat pemindahan di negeri ini sudah dikenal pasti yang boleh menempatkan sehingga 175,061 orang.

Menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) dan Hahasrin Hashim (BN-Panti) mengenai inisiatif kerajaan dan bantuan kecemasan banjir di negeri ini, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan barang-barang keperluan bencana di 10 depoh simpanan keperluan bencana, lima mini depoh dan 69 stor pangkalan hadapan di negeri ini.

Menurut Osman, bekalan beras turut ditempatkan di pangkalan hadapan di pulau-pulau serta penempatan Orang Asli antaranya di Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Tinggi.

“Saya juga menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat agar turut membantu menyalurkan sumbangan seperti bahan-bahan makanan kepada mangsa bencana terutamanya yang berpindah di pusat-pusat pemindahan untuk tempoh jam pertama.

“Ini kerana, saya yakin keberadaan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah lebih dekat dengan masyarakat. Ini juga sebagai tanda keprihatinan kita terhadap penduduk yang terjejas akibat bencana,” katanya.

Osman berkata kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah yang menjalankan tanggungjawab menangani bencana banjir dan ribut berlaku baru-baru ini.

Beliau berkata antaranya kejadian banjir di Kampung Parit Jayos, Sri Medan dekat Batu Pahat dan banjir kilat di Kampung kolam Air dekat Simpang Renggam, Kluang pada 13 Nov lepas serta ribut di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada 15 Nov lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast