KUALA LUMPUR – Gabungan Pembela Ummah (Ummah) hari ini memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD, Sabtu ini berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden buruk berlaku.
Pengarahnya, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agar perhimpunan aman itu dijalankan mengikut undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pihak penganjur merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis kerana memberi kebenaran untuk himpunan ini diadakan di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini.
“Pihak jawatankuasa penganjur akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak DBKL dan polis untuk memastikan ia diadakan dengan baik dan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Pihak penganjur menyeru bakal peserta himpunan untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan supaya himpunan ini berjalan dengan baik, selaras dengan kebenaran pihak DBKL dan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, UMNO dan Pas sepakat untuk meneruskan Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD meskipun pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan menandatanganinya.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memaklumkan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Bagaimanapun, Waytha berkata, kerajaan masih belum memberi kata kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.
Sebelum ini juga NGO UMMAH telah mengeluarkan garis panduan pergerakan himpunan aman itu yang akan diadakan pada Sabtu ini dari jam 2 petang hingga 6 petang di Dataran Merdeka, di sini.
Antaranya peserta dihendaki mengenakan pakaian serba putih, dan berkumpul di tiga checkpoint berasingan sebelum berarak menuju Dataran Merdeka iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek dan pusat beli-belah Sogo.
Peserta himpunan itu juga diingatkan agar tidak membawa sebarang senjata berbahaya atau barang tajam yang mencurigakan sepanjang demostrasi itu berlangsung serta tidak menimbul atau melayan sebarang provokasi. – MalaysiaGazette