Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan akan menggazetkan Ahad ini, 9 Disember 2018 sebagai cuti peristiwa sempena Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, di sini, Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah itu untuk memberi peluang kepada rakyat negeri itu untuk turut sama menyertai demostrasi besar-besaran itu yang melibatkan dua parti Melayu dan Islam tertua di negara ini.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghadiri himpunan tersebut bagi menzahirkan kecintaan kepada Malaysia dengan mesej jelas supaya keharmonian masyarakat pelbagai kaum dijaga dan dipelihara.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa untuk Kelantan pada 9 Disember 2018 (Ahad).

“Ia bagi memberi ruang kepada rakyat Kelantan menguruskan perjalanan dengan lancar dan selamat ketika menghadiri himpunan tersebut. Berhati-hati di jalan raya dan jagalah keselamatan diri dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, UMNO dan Pas sepakat untuk meneruskan Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD meskipun pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan pada 24 November lalu bahawa kerajaan tidak akan menandatanganinya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, Waytha berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.

Ahmad juga turut mengingatkan semua peserta yang terlibat dalam perhimpunan aman itu agar mematuhi segala peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang bentuk tindakan provokasi.

“InsyaAllah, kita akan berhimpun secara aman dan berakhlak mulia tanpa sebarang bentuk provokasi serta mengikut segala panduan dan arahan pihak berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast