KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor mendoakan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah diserang dalam insiden rusuhan di sebuah kuil baru-baru ini cepat sembuh dan dapat meneruskan rancangannya untuk berkahwin.
Isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau gembira dengan keadaan Muhammad Adib yang semakin baik.
“Dia angkat ibu jari,” kata Rosmah selepas meluangkan masa bersama Datuk Seri Najib Razak melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.
Menurut Rosmah, anggota bomba itu menyedari kehadiran mereka.
“Saya doakan dia cepat sembuh dan berkahwin,” ujarnya ringkas.
Sebelum, media melaporkan Muhammad Adib dijangka melangsungkan perkahwinannya dengan seorang gadis bernama Nurul Najihah pada bulan ini. – MalaysiaGazette