Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kepada siapakah ibu-ibu miskin akan mendapat bantuan jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Tegas bekas Perdana Menteri itu, program AIM sudah dijalankan bertahun-tahun dan telah membantu berjuta rakyat miskin terutama di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau percaya golongan miskin yang pernah menerima manfaat daripada AIM telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

AIM sudah dibuktikan sebagai satu inisiatif yang boleh dan dapat membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin dan antara bandar dan luar bandar.

“Alasan yang diberi oleh kerajaan PH untuk membatalkan AIM ialah kerana wujudnya pelanggaran undang-undang oleh pentadbiran terdahulu. Apa sebenarnya kesalahan ini juga tidak dinyatakan.

“Jikalau tuduhan-tuduhan ini betul, ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah dan perbetulkan pentadbiran AIM – bukan dengan membatalkan AIM dek tindakan beberapa individu,” katanya melalui hantaran terbaharunya di Facebook.

Bubar AIM, robek institusi bantu Melayu, Bumiputera

Beliau turut mempersoalkan apa salahnya kerajaan Barisan Nasional memberi sedikit bantuan kepada penduduk miskin di luar bandar untuk membiayai aktiviti perniagaan kecil-kecilan untuk tambah pendapatan mereka.

Malah, beliau menyifatkan peminjam-peminjam AIM sebagai individu jujur kerana peratusan bayaran balik adalah tinggi iaitu 98.26 peratus.

Lantaran itu, katanya, setiap kali bajet, dana untuk AIM akan ditambah.

Najib berkata, beliau tidak menyangka AIM yang tidak mendapat peruntukan dalam Belanjawan 2019, rupa-rupanya akan dibatalkan.

“Selepas ini ibu miskin di kampung nak pinjam dari siapa? Dari Ah Long?,” katanya yang sedih melihat bantuan untuk golongan miskin dipinggirkan.

Sebaliknya, golongan yang kaya dan peniaga-peniaga yang sering mengelak cukai mendapat manfaat daripada langkah seperti menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan pemberian dana kepada swasta seperti dana R&D yang berbilion-bilion.

“Setelah melihat langkah-langkah dan dasar-dasar kerajaan PH, saya pernah bertanya di Dewan Rakyat jika kerajaan ini ialah kerajaan ini ialah untuk orang bandar,orang kaya dan kroni-kroni sahaja.

“Nampaknya, jawapan sudah jelas dan nyata.

“Tetapi, jangan risau. Selepas dikritik, kerajaan PH mungkin akan U-Turn lagi seperti dalam hal PTPTN ataupun jelaskan ini hanya perbincangan ataupun di salah lapor . Kita tunggu,” katanya dengan cukup sinis. – MalaysiaGazette