PUTRAJAYA- Kerajaan harus meraikan mereka yang cuba untuk memerangi rasuah daripada melindungi individu yang terlibat dalam rasuah, demikan menurut Persana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ujarnya, gejala rasuah adalah satu perkara yang jijik dan boleh membawa kerugian yang tidak dapat diperbaiki kepada masyarakat dan negara.
“Sekiranya kita mahu menyertai barisan negara maju, menjadi Harimau Asia sekali lagi, maka kita perlu memandang rasuah secara serius. Kita tidak sampai ke sana dengan mengambil cara pintas untuk berjaya.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk Malaysia menyertai senarai negara maju dan berkebolehan serta biarkan dunia tahu bahawa kita adalah sebuah negara yang kuat menghormati demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam ucaptama merasmikan Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani.
Jelas Dr Mahathir, hanya dengan mengurangkan amalan rasuah, kerajaan dan negara akan maju.
Malah katanya, rakyat Malaysia hanya boleh menganggap diri mereka maju apabila masyarakat dapat menolak rasuah dan menghentikannya.
“Adalah penting bagi kita untuk meningkatkan nilai dan piawaian kita tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan. Inilah satu-satunya cara untuk memajukan Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata rakyat tidak boleh berbangga dengan keadaan Malaysia sebelum diambil alih oleh Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.
Oleh itu, Kerajaan PH bertanggungjawab untuk memastikan usaha memperbaiki tadbir urus dan memperkenalkan inisiatif anti-rasuah yang bertujuan menamatkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Ia harus dilayan dengan rasa jijik dan kemarahan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette