KUALA LUMPUR – Limpahan ratusan ribu umat Islam membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan-kawasan sekitarnya ternyata membuktikan bahawa penyatuan ummah mampu menjayakan usaha menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Suasana menyentuh perasaan apabila para peserta membentang sejadah dan apa juga bentuk material yang boleh dibuat alas untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah tidak jauh dari Dataran Merdeka.
Di situ tergambar betapa mereka bersatu hati dalam gerak solat yang seragam dan serentak bermula dari takbiratulihram hinggalah ke salam terakhir usai empat rakaan solat zohor.
Masjid-masjid berhampiran iaitu Masjid Negara dan Masjid Jamek turut dipenuhi para peserta Himpunan Ummah 812 yang telah memulakan solat subuh di sana sebelum bersama-sama menunaikan solat zohor sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Suasana terkawal dan para peserta dilihat bersatu terutama dalam menjaga tatalaku dan kebersihan di kawasan mereka berkumpul terutamanya di Jalan Tunku Abdul Rahman dan pusat beli-belah Sogo.
Antara pemimpin yang turut hadir bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Presiden Pas, Datuk Seri Abdu Hadi Awang dan penceramah bebas Azhar Idrus. Barisan kepimpinan pemuda dan wanita juga hadir masing-masing menunjukkan solidariti yang jitu. – MalaysiaGazette