KUALA LUMPUR – Aliff Akram Nor Kasany baru berusia 24 tahun.
Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini adalah penuntut tahun akhir jurusan Syariah Ekonomi Universiti Malaya. Selain rutin hariannya sebagai mahasiswa, Aliff memilih untuk melakukan ‘kerja amal’ yang jarang dilakukan pemuda sebaya dengannya – pandu van jenazah!
Menurut Aliff, segalanya bermula apabila pensyarah kesayangannya, Prof Dr Joni Tamkin Borhan meninggal dunia di depan matanya kira-kira setahun yang lalu.
Sejak itu, beliau nekad untuk membuat kerja amal dalam bidang pengurusan mayat khususnya memandu van jenazah, apatah lagi setelah menyedari tak ramai anak muda yang mahu dan sanggup berbuat demikian.
Walaupun sibuk dengan pelajaran dan nota-nota kuliah, Aliff jarang menolak seandainya khidmat beliau diperlukan untuk menghantar jenazah walau ke mana saja lokasi di semenanjung tanahair.
” Saya teringat satu peristiwa di mana saya dikehendaki menghantar jenazah seorang lelaki ke kampung halamannya yang terletak jauh di perkampungan orang Asli dekat Gua Musang, Kelantan. Van jenazah kami tiba di sana kira-kira jam 4 pagi dari Hospital Sungai Buloh. Kami diarahkan untuk meletakkan jenazah di surau kampung tersebut. Agak pelik sebenarnya kerana tiada seorang yang menjemput kami atau yang menunggu ketibaan jenazah.Yang ada hanyalah abang arwah, itupun dia bersama-sama kami dari hospital lagi
” Rupa-rupanya abang arwah memberitahu bila kematian berlaku khususnya pada waktu malam, atas kepercayaan setempat, masyarakat di situ tidak akan keluar rumah. Kami hanya ada di surau itu kira-kira 15 minit sebelum mengambil keputusan pulang ke Kuala Lumpur disebabkan masing-masing ada komitmen lain termasuk saya yang masih kuliah. Ketika inilah pelbagai dugaan yang menganggu perjalanan pulang kami.
” Kemuncaknya kami terserempak dengan sekumpulan wanita tua dalam kegelapan malam. Mereka hanya berdiri kaku dan memandang tepat ke arah kami. Paling menyeramkan, kesemuanya mempunyai iras wajah yang serupa!,” kata Alif dalam temubual khas dengan Malaysia Gazette di sini semalam.
Ujarnya, walaupun terkejut, beliau dan dua rakannya yang lain mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan biarpun perasaan seram sudah tak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Dalam pada itu, Aliff yang juga salah seorang ahli Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) turut berkongsi perasaan lucunya setiap kali van jenazah yang dipandunya singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R).
Menurut Aliff, selalunya mereka yang beragama Islam akan memberi salam dan bertanyakan sama ada van yang dipandunya itu ada jenazah atau tidak.
Tetapi menurut Aliff, yang bukan beragama Islam pula akan cepat-cepat mengubah kenderaan sekiranya van jenazah yang dipandunya berhenti di sebelah mereka.
” Saya tak kecil hati pun dan saya faham mengapa mereka berbuat demikian. Saya sendiri pun seboleh-bolehnya tak mahu berhenti atau singgah kat mana-mana kalau sedang memandu van jenazah ini kerana faham waris mungkin mahu cepat-cepat selesaikan urusan pengkebumian mayat.
” Namun macam biasalah adakalanya sebagai pemandu, kita mungkin nak ke tandas atau nak berehat sekejap terutama bila melibatkan perjalanan yang jauh.
” Yang pasti setiap cabaran dan dugaan yang saya hadapi sebagai pemandu van jenazah ini saya anggap ia pengalaman dan asam garam yang perlu ditempuh. Saya reda,” kata Aliff sebelum mengakhiri perbualan. – MalaysiaGazette.
SPJM (Bhg 2): Kasih seorang ibu mencium anak yang rentung terbakar