Abdul Rahim Mohd Noor
BANGKOK – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan peranan yang dimainkan fasilitator Malaysia, Abdul Rahim Noor, dalam rundingan damai bagi menamatkan kitaran keganasan di selatan Thailand.

Beliau berkata, rundingan damai antara badan induk yang mewakili puak-puak di situ iaitu Mara Patani dan kerajaan Thailand berjalan dengan baik, tetapi jalan penyelesaiannya akan mengambil masa.

“Mencari jalan penyelesaian di selatan Thailand bukanlah sesuatu yang mudah, kerana perselisihan melibatkan banyak puak. Kita kena panggil semua puak untuk minta pandangan mereka selain kepentingan mereka,” katanya di sidang media selepas menerima ijazah doktor kerhormat kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit, Bangkok, hari ini.

Abdul Rahim yang juga bekas ketua polis negara dilantik sebagai fasilitator rundingan damai di selatan Thailand pada 25 Ogos lepas menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim. – MalaysiaGazette