Darell Leiking

PENAMPANG – Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan presidennya, Datuk Darell Leiking juga yakin dan percaya presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil pendekatan sama, sekali gus menghormati persefahaman itu meskipun ia dibuat tanpa hitam putih.

Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, persefahaman tu kekal menjadi asas hubungan baik antara Warisan dan Bersatu.

“Saya ingin menegaskan bahawa Warisan ada persefahaman dengan Bersatu meskpun ia secara tidak bertulis tetapi perkara itu telah disuarakan oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin sebelum pilihan raya lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Darell, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menghadiri majlis sambutan Hari Krismas anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas usul khas untuk membawa masuk Bersatu ke Sabah yang diluluskan pada Persidangan Agung Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) hari ini.

Mengulas lanjut, Darell mengakui sesiapa sahaja mempunyai hak bersuara untuk membawa Bersatu ke Sabah.

Bagaimanapun, katanya, usaha pemimpin pembangkang di negeri ini hanya mahu mempengaruhi Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk melanggar persefahaman dicapai dengan Warisan sebelum ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast