Khairy Jamaludddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menyifatkan kredibiliti yang dibina selama ini dalam Pakatan Harapan musnah sekelip mata.

Kata-kata sinis itu menyusul susulan laporan portal Malaysiakini mengenai tindakan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik keluar UMNO bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) petang semalam.

Bekas Ketua Pemuda UMNO dan juga mantan Menteri Belia dan Sukan itu dalam Twitternya menulis: “What a way to torpedo PH’s Credibility”.

Semalam Abdul Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PPBM.

Abdul Rahim berkata, beliau bertindak keluar UMNO dan menyertai PPBM atas alasan UMNO tidak mempunyai roh perjuangan membela nasib orang Melayu dan ia sudah berhijrah ke PPBM.

“Saya sedih tinggalkan UMNO setelah 40 tahun berjuang dalam parti itu untuk orang Melayu kerana PPBM kini boleh membela orang Melayu dengan lebih baik, cekap dan berkesan.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga mendakwa kesilapan pemimpin UMNO menabur budaya rasuah menjadi kanser yang memakan akar umbi UMNO sehingga sukar diperbetulkan sebelum kecundang pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette